Rina sedang menyiapkan makan malam ketika aku tiba di rumah. Aku memegang tangannya dan berkata, “ Abang ada sesuatu nak beri...tahu”. Dia membisu dan dapat ku lihat keresahan di matanya.
Tiba-tiba lidahku kelu. Tapi aku nekad untuk memberitahunya. “Abang
rasa kita sudah tidak serasi lagi. Kita cerai?”.Akhirnya, terlepas jua
beban di dada. Tapi ku lihat Rina tenang dan dia hanya bertanya dengan
lembut. “Mengapa bang? Apa salah saya?”. Giliran aku membisu dan ini
menimbulkan kemarahan Rina. Air matanya mula menitis. Aku tahu dia
mahukan jawapan tapi aku tiada jawapannya. Yang ku tahu, hatiku kini
milik Tasya. Cintaku bukan pada Rina lagi.
Aku katakanya
padanya yang dia boleh ambil rumah dan kereta apabila kami bercerai.
Rina merenung wajahku.Pandangannya kosong. 10 tahun kami berkahwin
tetapi malam ni kami umpama orang asing. Aku kasihankannya tetapi untuk
berpatah balik tidak sesekali. Aku cintakan Tasya. Air matanya yang
sekian tadi bertakung mula mengalir deras. Sudah ku jangka. Malah aku
lega melihatnya menangis. Niatku untuk bercerai semakin jelas dan nyata.
Keesokannya, Rina mengatakan dia tidak mahu apa-apa dari penceraian
kami melainkan tempoh 1 bulan. Dia meminta bahawa dalam satu bulan itu
kami teruskan rutin harian kami seperti biasa sebagai suami isteri.
Alasannya, anak kami bakal menduduki peperiksaan dalam masa sebulan lagi
dan dia tidak mahu anak kami terganggu dengan penceraian kami. Aku
bersetuju.
Kemudian Rina menyuruhku mengingat kembali saat aku
mendukungnya ke bilik kami pada malam pertama kami. Dia meminta untuk
tempoh sebulan ini, aku mendukungnya keluar dari bilik tidur kami ke
pintu depan setiap pagi. Pada ku memang tidak masuk akal. Tetapi aku
tetap bersetuju.
Aku memberitahu Tasya permintaan Rina. Dia
ketawa dan hanya mengatakan ini semua kerja gila. Tidak kira apa
muslihat Rina, dia tetap akan diceraikan. Aku hanya diam membatu.
Semenjak aku menimbulkan isu penceraian, kemesraan kami terus hilang.
Hari pertama aku mendukungnya keluar, aku merasa kekok. Rina juga. Anak
kami bertepuk tangan di belakang sambil ketawa dan berkata, “Ayah
dukung ibu ya”. Kata-katanya amat menyentuh hatiku. Mata Rina bergenang
dan dengan lembut dia memberitahuku agar jangan sampai anak kami tahu
yang kami akan bercerai. Aku mengangguk setuju. Aku menurunkannya di
muka pintu. Dan kami memandu berasingan ke tempat kerja.
Masuk
hari kedua, hilang sedikit rasa kekok. Rina bersandar di dadaku. Dapat
ku cium harumannya. Dapat ku lihat kedutan halus di wajahnya Aku sedar
dia tidak muda lagi seperti dahulu. Ternyata perkahwinan kami memberi
kesan kepadanya. Selama satu minit, aku tertanya-tanya apa yang telah
aku lakukan.
Masuk hari keempat, aku dapat rasakan keintiman
kami telah kembali. Tanpa sedar hatiku berkocak mengatakan mungkinkan
cintaku masih padanya. Hari kelima dan keenam, aku menyedari keintiman
kami mula bercambah kembali. Aku tidak memberitahu Tasya tentang perkara
ini. Masuk hari-hari seterusnya, rutin ini jadi lebih mudah malah aku
nantikannya setiap pagi.
Suatu pagi, Rina sedang memilih baju
untuk dipakai. Katanya tiada yang sesuai. Dia mengeluh. “Semua baju saya
besar”. Baru ku sedar, dia semakin kurus. Mungkin itu jugalah sebabnya
aku semakin mudah mendukungnya. Tiba-tiba terlintas di fikiranku.
Mungkin Rina sedang menyembunyikan keperitan hatinya lantaran sikapku
selama ini. Tanda sedar aku merangkul tubuhnya dan membelai rambutnya.
Kemudian, muncul anak kami di muka pintu sambil berkata “ Ayah, cepat
lah dukung ibu keluar”. Padanya, melihat aku mendukung keluar isteriku
setiap pagi adalah rutin hariannya. Rina memanggil anak kami lalu
memeluknya erat. Ku palingkan mukaku kerana takut aku sndiri mengubah
fikiran di saat ini. Aku kemudian mendukungnya dan tangannya melingkari
leherku. Tanpa sedar, ku eratkan rangkulanku. Dapat ku rasakan badannya
sangat ringan.
Hari ini genap sebulan. Di muka pintu aku
menggenggam tangannya dan berkata “ Abang tidak sedar yang selama ini
kita kurang keintiman”. Aku terus melangkah ke kereta dan terus memandu
ke pejabat. Sesampainya di pejabat, aku terus ke bilik Tasya. Sebaik
pintu terbuka, aku masuk dan aku beritahu dia “Maaf Tasya. Saya tidak
akan bercerai dengan Rina. Sekarang saya sedar saya masih cintakan dia”.
Muka Tasya berubah merah. Tapi ku kata jua,“Maaf Tasya. Saya dan Rina
tidak akan bercerai. Perkahwinan kami membosankan mungkin kerana saya
tidak menghargai apa yang kami ada dan kongsi selama ini, bukan kerana
kami tidak lagi menyintai satu sama lain”. Tasya menjerit sekuat hati
dan aku terus melangkah keluar.
Aku kembali ke kereta dan niat
hatiku mahu pulang ke rumah dan memohon maaf dari Rina, isteriku. Aku
singgah di sebuah kedai bunga untuk membeli sejambak tulip merah
kesukaan Rina. Aku capai sekeping kad dan ku tulis, “Abang akan dukung
Rina setiap pagi hingga maut memisahkan kita”.
Setibanya di
rumah, aku terus berlari ke bilik kami dan mendapati Rina terbaring
tenang di atas katil. Ku belai wajahnya sambil memanggil namanya tapi
tiada sahutan. Rina kaku. Hatiku berdetak keras.
Kini Rina
pergi untuk selamanya. Perpisahan yang ku pinta ternyata ditunaikan.
Sekian lama Rina berperang dengan KANSER RAHIM tetapi aku begitu sibuk
dengan Tasya untuk menyedarinya. Rina tahu bahawa dia akan mati tidak
lama lagi dan dia mahu menyelamatkan aku daripada reaksi negatif dari
anak kami, sekiranya kami tetap bercerai. Rina mahu sekurang-kurangnya
di mata anak kami, aku adalah suami yang penyayang.
Perkara-perkara mudah dan ringkas yang anda lakukan bersama adalah yang
sebenarnya penting dalam perkahwinan. Bukan banglo, kereta, harta, dan
wang di bank. Semua itu hanya wujudkan persekitaran yang kondusif untuk
kebahagiaan tetapi tidak dapat memberi kebahagiaan pada kita.
Jadi carilah masa untuk menjadi sahabat kepada isteri/suami anda dan
lakukan perkara-perkara kecil untuk satu sama lain yang membina
keintiman. Binalah kemanisan rumah tangga anda. Hargailah setiap
pengorbanan pasangan anda.
Translated from Islamic Reflections
No comments:
Post a Comment